"Lagipun takkan saya nak harapkan adik-adik lelaki saya bersama isteri masing masing jaga emak. Biarlah saya berkorban. Kalau mereka balik bolehlah bantu saya sediakan juadah untuk tetamu yang datang beraya dan menziarah emak.’’ Itu cerita Emy Suhada.


"Bukan saya bantah kehendak suami balik beraya di rumah emaknya. Sebab saya rasa saya lebih selesa jaga emak. Itu sebab pertama, sebab kedua saya tak mahu saya hilang mood raya dek kerana masalah harta pusaka yang belum selesai. Jadi biarlah mentua saya bincang anak beranaknya supaya mereka lebih selesa daripada kehadiran saya cuma menantu sahaja.
"Pengalaman tahun lepas memang menyakitkan hati saya, saya berdua biras perempuan duduk tepi bila keluarga suami bercakap pasal harta peninggalan ayah dan datuk mereka. Memang hilang mood, nak berjalan raya pun tak jadi, semua duduk rumah menunggu kalau-kalau ada saudara mara sebelah ayah datang, maka bolehlah mereka 'bersurah’ pasal harta peninggalan ayah dan datuk mereka.
"Raya tahun lalu tak seorang pun saudara ayah mentua datang. Sebab emak tak buat janji, lagipun yang menunggu hanya adik-beradik suami saya peringkat cucu, apalah mereka tahu pasal harta datuk, sepatutnya yang lebih tahu adalah adik-beradik ayah.
Lagipun jika betul serius nak bincang pasal harta bukan pada hari raya, bincanglah hari lain. Buat temu janji supaya semua orang boleh datang dan bincang. Ketika itu tentu ramai boleh datang, dan tetamu tidak akan ganggu perbincangan mereka nanti.
"Tetapi emak mentua saya tak sabar, katanya dia dah tua dia mahu masalah pembahagian harta sebelah ayah (suaminya) diselesaikan segera. Katanya lagi ketika raya, semua orang jauh dan dekat akan balik, jadi senang berbincang. Tetapi saya tak nampak cara penyelesaian boleh dibuat segera. Sebab semua orang datang nak beraya, nak berjalan sementara cuti pendek. Mereka tak ada masa bincang pasar harta. Namun kehendak emak tak boleh dibantah. Itulah yang suami saya Hakimi buat, dia ikut kehendak emaknya, malangnya dia sendiri tidak beri idea atau cara nak beritahu emaknya.
"Pada saya, masanya tak sesuai. Kedua, empat adik-beradik ayah mentua telah meninggal, tinggal dua orang tapi masing-masing duduk jauh, tak pasti balik beraya tahun ini, jadi nak bincang macam mana? Tentu mereka tak datang.
"Tetapi emak mentua saya yakin ipar duainya mesti datang, macam tahun tahun sebelumnya ketika suaminya masih hidup. Pada saya dulu adik-beradik datang sebab nak jumpa abang mereka, sekarang abang mereka sudah meninggal, nak cari siapa lagi? Sebab itu mereka tak datang. Tapi mentua saya yakin ipar duainya akan datang dan boleh selesaikan masalah harta pusaka arwah bapak dan atuk Hakimi.
"Saya faham mengapa mentua saya terlalu bimbang, sebab rumah mereka yang besar 'gedabak’ dibina atas tanah bapa mentuanya. Masalahnya tanah tersebut belum dibahagikan lagi. Tetapi adik arwah bercadang hendak jual tanah tersebut. Kalau betul nak jual macam mana kedudukan rumah ibu mentua saya yang terletak atas tanah atok itu?
"Tanah tersebut bukan luas pun cuma 2 ekar sahaja, di situlah pokok buah-buahan dan di situlah rumah mentua saja, yang asalnya dahulu tapak rumah atok. Kerana bila ayah mentua bersara dia nak buat rumah, atok (ayahnya) suruh buat atas tapak rumah atok, dan dalam masa yang sama adalah orang nak jaga atok yang sudah tua itu.
"Tanpa usul periksa ayah Hakimi terus buat rumah. Sebab kata atok itulah tapak rumah untuk ayah yang atok beri. Sementara anak-anak lain boleh buat rumah di keliling rumah ayah.
"Masa berlalu begitu cepat, tetapi anak-anak atok yang lain tak buat rumah di kampung, mereka beli rumah di bandar. Jadi tinggallah ayah sendirian, kini ayah dah meninggal dan adiknya nak jual tanah tersebut. Ini yang memeningkan kepala emak, apa jadi dengan rumah emak jika tanah ini dijual. Itu sebab emak nak bincang pasal pindah milik rumah tersebut.
Masalah tanah
"Malangnya Hakimi tak ambil tahu, sebab dia tahu masalah tanah tersebut lebih besar lagi. Mulanya saya tak tahu hinggalah satu hari Hakimi bercerita, dia tidak bimbang pasal pak cik nak jual tanah tersebut, sebab tanah tersebut takkan boleh dijual. Tetapi dia tak mahu beritahu emaknya masalah sebenar, sebab dia tak mahu emaknya susah hati. Sebab itu apa juga kata emaknya, Hakimi dengar dan patuh, sebab dia tahu tanah itu tidak mudah dijual.
"Kata Hakimi tanah tersebut masih atas nama moyang mereka lagi, dulu tanah itu asalnya besar sudah dibahagikan kepada adik-beradik atok, masing-masing pun buat rumah di tempat yang diperuntukan kepada mereka. Tetapi mereka tidak pernah ambil kuasa atau pindah milik tanah tersebut semasa moyang masih hidup. Atok dan adik-beradik lain tak banyak cerita, mereka dirikan rumah ikut kemampuan masing-masing.
"Kalau nak jual juga Hakimi mesti cari semua adik-beradik moyang yang memiliki tanah tersebut. Malangnya semua dah meninggal dunia, sepupu arwah ayah mentua pulak terlalu ramai. Mana nak cari. Dah dapat semua nama barulah boleh buat urusan pindah milik. Tetapi memang payah, nak bayar pindah milik tanah lagi, cukai tanah dan sebagainya. Memang sulit.
"Menurut Hakimi tidak ada seorang pun kalangan saudara mereka yang mahu usahakan pembahagian tanah tersebut. Sebab susah, semuanya berkait antara satu sama lain. Sebab itu Hakimi tak ambil tahu, dan bukan semua saudara mara mereka mahu keluar duit untuk urusan tersebut, sebab harganya sudah terlalu tinggi.
"Jadi untuk tidak lebih kecewakan emaknya, Hakimi lebih suka berdiam diri, sebab tak mahu emaknya susah hati. Sebab masalahnya keluarga mereka ramai. Bayangkan kalau Hakimi usahakan ambil kuasa tanah, dia terpaksa cari adik-beradik moyangnya, lepas itu adik-beradik atoknya, kemudian ayahnya lepas itu sampailah ke peringkat sepupu Hakimi yang jumlahnya sudah meningkat lebih 100 orang, bukan senang nak buat kira-kira.
"Kerana masalah inilah Hakimi tak sampai hati nak cerita dengan emaknya, dia tak mahu emaknya sakit kepala bimbang rumahnya bila tanah terjual oleh iparnya. Namun Hakimi yakin pak ciknya juga tidak akan dapat selesaikan masalah ini, sebab belum tentu semua saudara mara mahu keluar duit untuk selesaikan pemilikan dan pemidah milik tanah tersebut.
"Memang benar ramai yang suka jika tanah tersebut dijual sebab mereka tak duduk di tanah tersebut dan hasilnya tak seberapa, lagipun mereka mahukan duit dengan segera bila tanah terjual, tetapi mereka tidak faham mengapa tanah tersebut masih belum dijual? Sebab itu pak cik yang mula-mula suarakan hasrat hendak jual tanah tersebut, kini diam membisu. Sebab pak cik tahu masalah yang mengikat tanah tersebut.
"Masalah lebih susah, mana geran tanah tersebut. Nak cari kat mana. kalau hendak cari geran tanah kena pergi ke pejabat tanah, itu pun kena keluar duit untuk pencarian pemilikan tanah. Lagi teruk mereka tak tahu no geran tanah, yang boleh cari mungkin berpandukan no geran jiran tanah keliling. Lebih teruk nama pemilik asal tanah tersebut iaitu moyang mereka pun mereka tak tahu apa nama penuhnya.
"Inilah masalah orang tua-tua kita dahulu. Memang mereka cari harta dan hendak beri harta kepada anak-anak. Bila mereka meninggal dunia, anak-anak tidak ambil daya usaha untuk buat tuntutan pembahagian tanah tersebut mengikut faraid. Antara sebabnya, pertama, mungkin kerana mereka kena keluar duit untuk proses pindah milik tanah. Sebab itu mereka tak ambil peduli apa jadi pada tanah tersebut. Kerana mereka tak minat duduk kampung.
"Kedua sebab paling jelas jika ibu mereka masih ada, mereka tak mahu buat pindah milik tanah, sebab takut emak kecil hati, kerana emak beranggapan selepas suaminya meninggal maka semua tanah milik suaminya akan jadi milik si isteri secara total. Anak-anak tak ada hak, kalau hendak tanah juga kena tunggu selepas emak meninggal dunia pula.
"Jadi anak-anak terpaksa berdiam diri sebab tak mahu emak kecil hati jika tanah itu difaraidkan mengikut hukum. Sebab kalau mengikut faraid emak cuma dapat jumlah yang kecil ke atas pemilikan tanah tersebut. Sementara anak-anak dapat lebih banyak.
"Sebab itu masalah pembahagian harta sering tergantung tidak terurus mengikut faraid setelah ayah meninggal dunia. Sebab nak jaga hati emak, dan sudah menjadi kebiasaan dengan hukum adat mereka sendiri. Jika suami mati, semua harta jatuh kepada isteri. Jadi kalau hendak berbahagi harta antara anak-anak, maka mereka kenalah tunggu emak meninggal dunia.
"Memikirkan masalah tanah dan rumah emak ini masih hangat dibincangkan dan sukar diselesaikan, sementara ibu mentua sentiasa mendesak anak-anak ambil kuasa dan buat pindah milik tanah, maka saya rasa lebih baik saya tak balik, bila tak dengar hati tak sakit.
"Saya juga salahkan Hakimi sebab tak bercerita pada emaknya, nak tunggu sampai bila. Kesian orang tua tu terus menunggu.’’ Itu cerita Emy Suhada tentang masalah harta peninggalan arwah atok suaminya yang hingga kini masih tidak diselesaikan lagi. Kerana itulah juga dia lebih suka tidak pulang beraya jumpa mentua sebab dia tak mahu tengok mentuanya sedih di pagi raya.

Sumber: Utusan 

"URUSKAN PUSAKA SUPAYA MENJADI HARTA"
"WARISKAN DUNIA DEMI AKHIRAT"

Klik link untuk pautan selanjutnya.