“Nantilah dulu... tanah kubur arwah masih merah lagi..”
“Kenapa nak sibuk pasal harta arwah.. selama hidup kau tak pernah ambil tahu pun..”
Itulah antara kisah ‘drama’ yang biasa didengar setelah berlaku kematian.
Sepertinya seolah-olah yang bertanya tidak sabar untuk mendapatkan harta si mati. Namun jika difahami secara tersirat, ia bertujuan menyelesaikan liabiliti dan hak si mati seperti belanja pengurusan jenazah yang mungkin telah didahulukan oleh waris, hutang piutang si mati dan waris-waris yang berhak.
Kami cuba merungkai situasi di atas, sungguhpun nampak macam biasa sahaja tapi boleh menimbulkan kesan dan salah tanggap dalam kalangan waris dan masyarakat sendiri.
Secara umumnya, kesedaran masyarakat masih rendah sama ada yang tinggal di bandar atau di luar bandar yang menyebabkan banyak harta pusaka masih belum dituntut.
Betul ke banyak harta pusaka yang belum dituntut?
Nak tahu banyak ke tidak harta pusaka yang telah dituntut atau belum dituntut. Cuba anda tanya waris-waris yang telah kematian ibu bapa atau sanak saudara. Sejauh mana mereka telah selesaikan pembahagian harta pusaka ibu bapa atau sanak saudara mereka. Tanya lagi apa masalah yang mereka hadapi.
Hakikatnya kebanyakan masalah yang dihadapi adalah kerana pemilik harta sebelum kematiannya tidak membuat perancangan harta pusaka. Jika ada sekalipun, hanya pesanan melalui ‘cakap-cakap mulut’ yang sukar untuk dilaksanakan.
Sebenarnya, ramai masyarakat tidak mempunyai pemahaman yang jelas untuk merancang harta pusaka sebelum kematian. Lebih malang, segelintir masyarakat pula memandang ringan aspek perancangan harta dan menganggap ianya suatu yang tidak penting untuk difahami.
Masyarakat masih tidak faham apa itu hibah, wasiat, amanah dan apa itu faraid. Jauh sekali untuk memahami apa itu wakaf, harta sepencarian dan lain-lain lagi. Lebih memburukkan keadaan, masyarakat juga tidak didedahkan dengan prosedur yang perlu dilalui dan agensi terlibat dalam menguruskan urusan pembahagian harta pusaka.
Walaupun pengurusan harta pusaka sering dikaitkan dengan kematian dan ianya dikatakan sebagai perkara yang ‘sensitif’, tetapi legasi pemilikan harta atau penerusan kesinambungan terhadap harta perlu dirancang dan disusun dengan baik. Ia penting supaya tidak membebankan waris-waris nanti.
Adakah kita hanya boleh merancang pembahagian harta pusaka ketika usia memasuki 50 tahun? Adakah semasa kita masih muda dan sibuk mengumpul harta ini, kita tak perlu merancang dari sekarang?
Ya jawapannya adalah SEKARANG!
Ketika tubuh badan anda masih sihat dan akal fikiran anda dapat berfikir dengan waras inilah ia saat yang paling sesuai untuk anda merancang pembahagian harta pusaka.
Jangan ambil mudah, jangan leka dan jangan bertangguh. Buatlah perancangan ke atas harta pusaka anda sekarang.
Jika maut menjelma sebelum sempat menyusun perancangan harta pusaka, ia boleh mengundang pelbagai masalah ke atas harta pusaka anda. Waris-waris hilang tempat bergantung, harta pusaka tidak dapat diagih, waris-waris tak tahu hutang piutang anda, waris-waris tidak maklum harta pusaka anda dan macam-macam isu lagi yang boleh timbul.
Kenapa perlu merancang harta pusaka daripada sekarang?
Harta pusaka anda perlu dirancang daripada sekarang supaya:
1. Mempunyai pilihan untuk mengagih harta semasa hidup dengan cara hibah.
2. Membuat sedekah jariah selepas mati melalui wasiat, atau melantik wasi bagi mentadbir harta pusaka anda.
3. Menjadikan sebahagian daripada harta sebagai wakaf.
4. Mengadakan pesanan kepada mana-mana pihak tentang urusan-urusan harta anda yang belum diselesaikan semasa masih hidup.
Semua perkara di atas jika tidak dibuat perancangan yang bersesuaian alamatnya rugilah kepada anda sendiri. Walhal sebenarnya, sebelum ini anda telah berangan-angan untuk mengagihkan harta kepada pihak-pihak yang berkenaan.
Walaupun pengurusan harta pusaka secara faraid mempunyai pengagihan yang tersusun, tetapi jika anda membuat perancangan dengan menghibahkan sebahagian harta anda semasa hidup, ia adalah sebagai bentuk pemberian kasih sayang seorang bapa atau ibu kepada anaknya. Tentunya mereka amat menghargai pemberian tersebut.
Pengurusan harta pusaka secara faraid merupakan pembahagian yang telah ditetapkan dalam Al-Quran, tetapi tidak salah jika anda membuat wasiat. Sepertimana yang dinyatakan dalam firman ALLAH dalam Surah al-Nisa’ ayat 11.
Dalam wasiat, anda boleh meninggalkan pesanan, hasrat, arahan dan menentukan apa yang dikehendaki dalam wasiat yang bertujuan sebagai sedekah dan boleh mengelakkan pertikaian dan penganiayaan dalam kalangan waris.
Sebab itu merancang harta pusaka sangat penting kerana jika harta pusaka yang ditinggalkan tiada perancangan khusus, melantik mana-mana wasi, atau pentadbir, waris-waris boleh lalai dan leka dengan mengambil hak orang lain daripada status pemilikan yang tidak rasmi atau lebih buruk lagi memakan harta anak yatim. Sepertimana firman ALLAH SWT dalam Surah al-An’am ayat 152.
Rancanglah harta pusaka anda dengan bijak daripada sekarang. Perancangan harta ini bukan sekadar mengumpul, mengurus dan melindungi harta semata-mata, sebaliknya harta dan kekayaan yang dimiliki harus dipastikan dapat diwarisi oleh waris-waris. Agar tidak timbul kesulitan dan kesusahan kepada waris yang berhak menerimanya.
Sumber: Sinar Harian
"URUSKAN PUSAKA SUPAYA MENJADI HARTA"
"WARISKAN DUNIA DEMI AKHIRAT"
"WARISKAN DUNIA DEMI AKHIRAT"
#mypusaka
#mypusakainfo
#danapantas
#rancangharta
#uruspusaka
No comments:
Post a Comment