Tuesday 29 January 2019

JENIS-JENIS DAN PROSEDUR PENGURUSAN HARTA PUSAKA


Assalamualaikum semua..
Untuk hari ini, Ezani nak kongsikan sedikit info berkenaan jenis-jenis harta yang termaktub dalam perundangan Malaysia serta prosedur pengurusan yang kita amalkan.
Berdasarkan undang-undang yang terdapat di Malaysia, harta pusaka dibahagikan kepada tiga jenis iaitu Harta Pusaka Kecil, Harta Pusaka Besar (Biasa), dan Harta Pusaka Ringkas. Perkara ini merujuk kepada Akta Probet dan Pentadbiran Harta Pusaka 1959 dan Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955.
======================================================
A. Harta Pusaka Kecil
Apa itu Harta Pusaka Kecil? Harta Pusaka Kecil ialah harta yang ditinggalkan oleh si mati tanpa wasiat yang terdiri daripada harta tak alih sahaja atau campuran di antara harta alih dan harta tak alih yang jumlah nilainya tidak melebihi RM 600,000.00.

Undang-undang yang dipakai dalam pentadbiran harta pusaka kecil ialah Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 dan pekeliling-pekeliling yang dikeluarkan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian di Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi dari semasa ke semasa.

Tuntutan pembahagian harta pusaka kecil bagi orang-orang Islam dan bukan Islam boleh dibuat di Pejabat Pusaka Kecil atau Pejabat Tanah di hadapan Pegawai Penyelesai Pusaka.

Terdapat 36 unit pembahagian pusaka kecil di seluruh Malaysia. Unit ini diletakan di bawah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian dan Pembangunan Koperasi. Kebiasaannya tuntutan atau permohonan pembahagian harta pusaka kecil dibuat di Pejabat Tanah di mana harta tak alih si mati terletak.

Sekiranya si mati mempunyai tanah yang banyak tempat, sama ada di negeri yang sama atau negeri yang berlainan maka daerah yang mempunyai nilai harta si mati yang paling tinggi akan mempunyai bidang kuasa untuk menyelesaikannya.

Setiap permohonan untuk pembahagian harta pusaka kecil hendaklah dibuat di dalam borang khas iaitu Borang A. Borang ini boleh di dapati secara percuma di Pejabat Tanah ataupun Unit Pembahagian Pusaka Kecil yang berdekatan dengan tempat tinggal pemohon.

Setiap permohonan dikenakan bayaran pendaftaran sebanyak RM 10.00 semasa pendaftaran dibuat. Permohonan tersebut akan dihantar ke Pejabat Pendaftaran Pusat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya setiap permohonan direkodkan dan bertujuan mengelakkan pertindihan. Semasa mengemukakan Borang A terdapat beberapa dokumen yang perlu disertakan iaitu:-

1) Bukti kematian sama ada surat mati atau permit pengkebumian, surat sumpah oleh dua orang saksi bebas yang menyaksikan jenazah dikebumikan ( terpakai bagi kematian semasa Jepun atau sebelumnya ) ataupun perintah anggapan kematian yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi ( terpakai bagi keadaan di mana tiada sijil mati, si mati hilang di laut dan sebagainya ). Perintah ini hanya boleh diperolehi selepas 7 tahun dari tarikh orang tersebut hilang dan tidak didengar khabar berita.

2) Salinan hak milik keluaran (geran tanah) dan jika terdapat harta alih mestilah disokong oleh dokumen-dokumen yang menunjukkan pegangan harta alih si mati seperti pegangan buku bank, sijil pendaftaran kenderaan, sijil saham, penyata KWSP dan sebagainya.

3) Salinan Kad Pengenalan waris-waris, surat beranak jika ada, dan surat nikah pasangan si mati

4) Sekiranya pembahagian hendak dibuat mengikut hukum faraid, pemohon perlulah mendapatkan sijil faraid daripada Mahkamah Syariah yang berdekatan.

Menurut seksyen 8, Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955, orang yang berhak memfailkan tuntutan pembahagian harta pusaka kecil ialah:

1) Waris-waris pusaka si mati (benefisiari) seperti suami ataupun siteri, ibu atau bapa dan baitulmal jika tiada waris yang berhak menerima pusaka si mati.

2) Si piutang (creditors) dan pengkaveat yang telah memasukkan kaveat atau perintah halangan ke atas tanah kerana menuntut kepentingan atau hak ke atas tanah si mati.

3) Si pembeli (pembelian melalui perjanjian yang sah ataupun melalui perjanjian lisan yang sah tetapi pindah milik belum dapat dibuat sebelum si mati meninggal dunia).

4) Orang-orang ataupun badan-badan yang berkepentingan dalam tanah kepunyaan si mati seperti pemegang gadaian dan pajakan seperti pihak bank.

5) Penghulu atau pegawai penempatan dengan arahan pentadbir tanah di bawah seksyen 18, Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955, terpakai apabila di dalam tempoh 6 bulan selepas kematian si mati tiada sebarang prosiding diambil untuk mendapatkan probet atau surat kuasa mentadbir pusaka ataupun permohonan untuk pembahagian di bawah Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955.

6) Amanah Raya Berhad (terpakai apabila waris si mati membuat tuntutan melalui ARB)

7) Pegawai Penyelesai Pusaka atau pemegang amanah (trustee).

======================================================

B. Harta Pusaka Besar (Biasa)
Harta Pusaka Besar atau biasa ialah semua jenis harta peninggalan si mati yang jumlah nilaiannya RM 600,000.00 ke atas sama ada terdiri daripada harta tak alih semuanya atau harta alih semuanya atau campuran kedua-duanya ataupun harta pusaka yang jumlah nilaiannya kurang daripada RM 600,000.00 tetapi si mati ada meninggalkan wasiat.

Pentadbirannya tertakluk kepada Akta Probet dan Pentadbiran 1959. Permohonan hendaklah dibuat di Mahkamah Tinggi Sivil yang berhampiran dengan tempat tinggal si mati untuk mendapatkan sama ada probet (surat kuasa wasiat bagi orang bukan Islam), surat kuasa mentadbir pusaka (bagi pusaka tanpa wasiat) ataupun surat kuasa tadbir dengan wasiat berkembar. (bagi si mati yang meninggalkan wasiat sebahagiaan hartanya).

Bagi orang yang beragama Islam, si mati hanya boleh mewasiatkan hartanya tidak melebihi 1/3 kepada pihak-pihak yang lain selain daripada waris-warisnya kecuali dengan persetujuan waris-waris lain. Dokumen-dokumen yang diperlukan semasa membuat tuntutan harta pusaka besar sama dengan dokumen-dokumen yang diperlukan semasa menuntut harta pusaka kecil termasuklah surat wasiat terakhir si mati.

Permohonan boleh dibuat oleh waris-waris si mati atau si piutang sama ada secara persendirian, melalui khidmat peguam ataupun menerusi bantuan Pegawai Penyelesai Pusaka atau ARB. Setiap permohonan hendaklah didaftarkan di Pejabat Pendaftaran Pusat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menentukan sama ada harta pusaka tersebut telah dituntut atau sebaliknya.

Kebiasaannya orang yang diberi probet atau surat kuasa mentadbir pusaka kecuali bagi Pegawai Penyelesai Pusaka atau ARB, disyaratkan mendapat seorang atau dua orang penjamin. Jika sekiranya pempetisyen mengalami kesulitan mendapatkan penjamin-penjamin yang layak dan sesuai, anak dia bolehlah memohon kepada mahkamah bagi mendapatkan perintah pengecualian daripada mengemukakan penjamin-penjamin atau pendapat khidmat penjamin profesional seperti sayarikat insuran atau institusi bank dengan bayaran yuran yang telah ditetapkan oleh syarikat atau institusi tersebut berdasarkan jumlah harta pusaka .

Surat kuasa mentadbir pusaka atau probet hanya boleh dikeluarkan apabila perintah pengecualian penjamin telah diperolehi dan bon (surat ikatan ikrar) pentadbiran telah ditandatangani oleh pempetisyen. Setelah pempetisyen memperoleh surat kuasa tersebut, dia hendaklah mendaftarkannya di pejabat tanah yang berkenaan supaya semua suratan-suratan hak milik tersebut didaftarkan atas nama pempetisyen sebagai wakil peribadi si mati.

Menjadi tanggungjawab pempetisyen untuk memohon kepada mahkamah sebaik sahaja dia menghasilkan semua asset si mati membuat satu perintah pembahagian terhadap harta pusaka kepada waris-waris menurut faraid atau menurut terma-terma wasiat si mati ataupun Ordinan Pentadbiran Harta Pusaka.

======================================================

C. Harta Pusaka Ringkas
Iaitu harta pusaka yang jumlah nilaiannya tidak melebihi RM 600,000.00 yang terdiri daripada harta alih sahaja tanpa wasiat seperti wang tunai, saham, KWSP, ASN ASB, kereta, wang simpanan dan sebagainya. Permohonan untk penyelesaian dan pembahagian harta pusaka ringkas hendaklah dibuat melalui Pegawai Pentadbir Pusaka atau Pengarah Perbadanan Amanah Raya Berhad.

Terdapat satu peruntukan khas dalam Akta Probet dan Pentadbiran 1959 yang memberi kuasa kepada pegawai pentadbir pusaka atau pemegang Amanah Raya untuk mentadbir dan menyelesaikan harta pusaka ringkas tanpa perlu membuat permohonan Surat Kuasa Tadbir kepada Mahkamah Tinggi Sivil. Pembahagian harta pusaka tersebut dibuat kepada waris-waris yang berhak mengikut kadar tertentu sepertimana yang dinyatakan dalam Sijil Faraid yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah .
======================================================

Semoga penulisan kali ini dapat memberi manfaat kepada semua yang membaca. Agar kita lebih jelas tentang apa itu Harta Pusaka Kecil, Harta Pusaka Besar (Biasa) dan Harta Pusaka Ringkas.
In Syaa Allah dalam penulisan Ezani yang berikutnya Ezani akan sambung berkenaan peranan dan bidang kuasa Unit Pusaka Kecil, Amanahraya dan Mahkamah Tinggi pula.
Jika kawan-kawan ada cadangan tajuk yang ingin dibincangkan bolehlah cadangkan. Jika ada artikel berkenaan urus pusaka bolehlah kongsi dengan Ezani.

"URUSKAN PUSAKA SUPAYA MENJADI HARTA"
"WARISKAN DUNIA DEMI AKHIRAT"

Klik link untuk laman web MyPusaka

Hubungi perunding, Assalamualaikum Ezani

#mypusakainfo
#danapantas
#rancangharta
#uruspusaka
#byezani

Monday 28 January 2019

PRINSIP-PRINSIR ASAS PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN HARTA PUSAKA ISLAM

Hari ini Ezani tertarik nak kongsikan apa Ezani baca dalam artikel ini. Tajuk dia "Wasiat Kepada Ahli waris Menurut Pandangan Fuqaha dan Kedudukannya di Negara Islam" tulisan Mohd Ridzuan Awang.

======================================================
Undang-undang pusaka Islam dibina di atas asas yang kukuh yang mana ianya tidak wujud dalam mana-mana sistem pusaka lain. Konsep Syariah ini merupakan kriteria penting dalam mentadbir dan mengurus harta pusaka Islam. Konsep Syariah yang diperlukan dalam mengendalikan pentadbiran ini, seperti adil, wasatiyyah, aulawiyyah atau tafadhul (mengutamakan yang lebih penting) dan lainnya yang berkaitan.

A. ADALAH
Adalah atau adil merupakan sistem saksama dan teliti dalam mengendalikan pembahagian harta pusaka kepada semua ahli waris berdasarkan kepada sifat manusia, keperluan dan mendekatkan diri mereka kepada si mati. Adil telah dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran, al-Talqa 65: 2, yang maksudnya: “dan adakanlah dua orang saksi, yang adil di antara kamu semasa kamu merujukkannya atau semasa kamu melepasnnya”.

B. AL-WASATIYYAH
Al-Wasatiyyah bermaksud pertengahan adalah sistem Islam dalam alam semula jadi berbanding kepada sistem kapitalis dan komunis. Membahagikan harta pusaka kepada ahli waris secara pertengahan mengikut keperluan mereka.Sifat ini memberikan kesan baik mengenai pentadbiran harta mengikut hak ahli waris.

C. AL-TAWAZUN
Al-Tawazun (seimbang) adalah satu ystem yang menyediakan sesuatu secara kira-kira bagi pemilik kekayaan untuk meninggalkan hartanya dalam pembahagian 1/3 untuk kebajikan melalui wasiat yang akan diwariskan oleh si mati dan baki 2/3 sebagai warisan untuk ahli waris menurut undangundang Islam.

D. SYUMULIYYAH
Syumuliyyah (menyeluruh) bagi seluruh ahli waris, penerima yang berhak menerima bahagian dari harta yang ditinggalkan termasuk semua benefisiari atau saudara-mara, sama ada besar atau kecil, tua atau muda, kaya atau miskin, walaupun janin dalam rahim ibu yang mempunyai hak untuk mendapat warisan. Begitu juga, seorang suami atau isteri berhak menerima kekayaan yang walaupun mereka tidak saudara-mara, tetapi mereka berkongsi hubungan suci perkahwinan, pengorbanan, kerjasama dan kesetiaan di antara mereka.

E. AL-TAFADUL
Al-Tafadul (memberi keutamaan) bahagian dalam pembahagian harta pusaka adalah berdasarkan keperluan benefisiari (al-hajah). Sebagai contoh, wanita dan kanak-kanak kecil mempunyai banyak keperluan daripada harta tersebut, kanakkanak memerlukan banyak lagi harta berbanding dengan bapa dan datuk mereka. al-Mashni (1432H/2011) berpendapat keperluan asas al-Tafadul bahawa anak-anak kepada si mati lebih memerlukan harta si mati berbanding bapa dan datuk, kerana orang yang sudah tua tidak banyak memerlukan tuntutan hidup, tidak seperti anak-anak yang meranjak dewasa atau mereka yang memulakan kehidupan berkeluarga.

F. AL-IJBAR
Al-Ijbar (paksaan) berasaskan sifat rida atas bahagian yang telah ditentukan oleh Allah. Bakhit dan al-Ula (1431H/2010: 19) mengatakan pemberi harta pusaka tidak dibenarkan melarang ahli waris untuk memberikan harta pusaka kepada yang berhak. Pada masa yang sama, ahli waris hendaklah tidak menolak pemberian harta waris si mati, iaitu dengan cara memiliki bahagian yang telah ditentukan secara paksa yang bermaksud paksa di sini adalah mengikut ketentuan faraid. Kematian menjadi sebab hilangnya kuasa terhadap seluruh harta pusaka, bahkan menjadi penghalang kepada ahli waris untuk memilikinya. Justeru, kerana kematian yang berlaku pada seseorang boleh membuka ruang kepada ahli waris yang berhak untuk memiliki harta pusaka yang ditinggalkan. Dalam Al-Quran dijelaskan bahawa harta pusaka akan menjadi Sa’ibah yang bermaksud tidak mempunyai pemilik. Walhal Islam mengharamkan Sa’ibah (al-Ma’idah 5: 103)

G. THABAT
Thabat (tetap) merupakan sifat undang-undang pusaka Islam, kerana thabat merupakan sifat semula jadi, ia tidak berubah dan tidak boleh bertukar ganti walaupun masa, lokasi dan individu adalah tertakluk kepada perubahan kerana ia adalah perintah Allah (s.w.t) melalui al-Quran dan Sunnah Nabi (s.a.w) kecuali dalam kes waris datuk dengan adik-beradik atau saudara-mara yang menerima pusaka dan akan menjadi wajibah yang mana ianya mempunyai ruang untuk ijtihad.
======================================================

Menarik bukan, inilah antara prinsip yang menjadi asas pengurusan pentadbiran harta pusaka Islam. Bagi Ezani ini sesuatu yang baru, mungkin juga untuk sebahagian besar kawan-kawan Ezani juga kan?
Itu sahaja untuk kali ini. In syaa Allah besok kita bincang tajuk lain pula.

"URUSKAN PUSAKA SUPAYA MENJADI HARTA"
"WARISKAN DUNIA DEMI AKHIRAT"

Klik link untuk laman web MyPusaka

Hubungi perunding, Assalamualaikum Ezani

#mypusakainfo
#danapantas
#rancangharta
#uruspusaka
#byezani

Friday 25 January 2019

FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI HARTA PUSAKA BEKU DI MALAYSIA (Part 2)

Untuk hari ini, Ezani nak sambung kongsi artikel daripada Proceeding of th 3rd International Conference on Management & Muamalah 2016 (3rd ICoMM) kelmarin.
Hari ini Ezani share point yang kedua melalui cacatan penulis.

======================================================
FAKTOR WARIS
Selain daripada faktor pemilik harta, faktor-faktor waris dilihat menyumbang kesan yang besar terhadap peningkatan harta pusaka yang tidak dituntut dan diuruskan. Hal ini kerana segala harta pusaka yang ditinggalkan hanya boleh dituntut dan diurus oleh waris melainkan dalam kes-kes tertentu seperti tuntutan yang dilakukan oleh penghulu atau ketua kampung. Oleh itu, jika waris-waris ini gagal menyelesaikan harta pusaka, ia akan menambahkan peningkatan harta pusaka yang terbeku.

Menurut Ahmad dan Laluddin (2010), sikap di kalangan waris yang suka bertangguhtangguh, mengambil mudah dan memandang remeh isu berkaitan pengurusan harta pusaka turut menyumbang dalam peningkatan harta pusaka yang tidak dituntut. Waris juga beranggapan isu harta pusaka sebagai isu yang sensitif untuk dibincangkan (Ahmad dan Laluddin 2010; Md Yusof 2008; Wan Harun 2010). Tambahan lagi, sikap bergantung harap kepada pihak-pihak tertentu seperti abang atau kakak yang sulung untuk menguruskan harta pusaka juga menambah kesan buruk terhadap permasalahan ini (Ahmad dan Laluddin 2010).

Perbalahan di kalangan waris boleh timbul disebabkan perebutan tanah yang kecil yang perlu diagihkan mengikut hukum faraid dan menentukan siapakah yang paling layak diberikan kuasa untuk mengurus dan menuntut harta pusaka. Timbul juga permasalahan di kalangan waris yang telah lama menghilang dan waris yang tidak diketahui kewujudannya seperti anak-anak daripada bekas isteri atau suami dan tiada bukti pewarisan seperti surat nikah dan sijil surat beranak (Buang 2008; Ahmad dan Laluddin 2010).

Sikap tamak di kalangan waris juga menyumbang di dalam peningkatan harta pusaka yang tidak dituntut (Ahmad dan Laluddin 2010). Selain itu, sudah menjadi kebiasaan waris-waris terutamanya di luar bandar tidak segera memohon pusaka jika peninggalan si mati hanyalah tanah di mana waris-waris masih dapat mengusahakan tanah si mati walaupun belum diturunmilik dan perkara ini dilakukan atas persetujuan bersama (Muhamad 2006).

Perancangan pembahagian harta sebelum mati adalah penting untuk waris supaya tidak menghadapi masalah ketika menguruskan pembahagian harta pusaka (Mujani et al. 2011). Ia tidak menafikan hukum faraid seperti yang telah ditetapkan di dalam Islam, namun secara pelaksanaan dari sudut undang-undang khususnya di Malaysia tidak semudah yang disangka (Mujani et al. 2011). Perancangan harta merupakan suatu perancangan yang mampu dilaksanakan dengan cara apabila seseorang semasa hayatnya memperoleh, mengurus dan mengagihkan hartanya kepada waris-waris dan benefisiari mengikut budi bicara dan adil. Di samping itu, ia dapat mengawal, memantau dan memanfaatkan harta itu untuk penerima, dirinya dan keluarga semasa hayat dan selepas kematian (Yaacob 2006).
======================================================

Ezani bersetuju dengan apa yang diutarakan oleh penulis artikel ini. Kebanyakkan kes yang Ezani berhadapan, majoritinya adalah masalah salah faham dan perbalahan dikalangan waris yang tidak arif tentang ilmu pengurusan pusaka dan faraid ini.

Tetapi setelah kita bimbing dan terangkan kembali kepada waris, in syaa Allah waris akan lebih terbuka dan kita dapat meleraikan salah faham ni. D
ekat sini kita dapat bantu dua perkara:
1. Berkenaan pengurusan harta pusaka
2. Perbalahan dikalangan waris

In syaa Allah next post Ezani kongsikan kes berkenaan pusaka pula.

"URUSKAN PUSAKA SUPAYA MENJADI HARTA"
"WARISKAN DUNIA DEMI AKHIRAT"

Klik link untuk laman web MyPusaka

Hubungi perunding, Assalamualaikum Ezani

#mypusakainfo
#danapantas
#rancangharta
#uruspusaka
#byezani

FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI HARTA PUSAKA BEKU DI MALAYSIA (Part 1)

Untuk hari ini, Ezani nak kongsi artikel daripada Proceeding of th 3rd International Conference on Management & Muamalah 2016 (3rd ICoMM). Dalam artikel ni, menekankan tiga faktor yang mempengaruhi harta pusaka beku di Malaysia. Hari ini Ezani share satu dulu ya.

======================================================
Faktor Pemilik Harta
Secara amnya, masyarakat mengetahui bahawa dalam Islam pembahagian harta pusaka setelah berlaku kematian adalah mengikut hukum faraid. Menurut Buang (2009), masyarakat Islam beranggapan bahawa perancangan awal iaitu perancangan pembahagian harta semasa hidup tidak perlu dilakukan ekoran daripada pelaksanaan hukum faraid yang telah ditetapkan dalam Islam. Tanggapan masyarakat Islam pada hari ini perlu diubah ekoran daripada peningkatan harta pusaka beku. Penyataan ini turut disokong oleh pengkaji Md Yusof (2008) dan Mujani et. al. (2011). Ekoran daripada anggapan masyarakat tersebut telah menyebabkan waris-waris perlu menanggung sepenuhnya segala permasalahan yang timbul berkaitan tuntutan dan pengurusan harta pusaka yang ditinggalkan oleh pemilik harta.

Selain itu juga, masalah pembahagian harta pusaka timbul apabila pemilik harta tidak memaklumkan kepada waris-waris berkaitan harta yang dimiliki sehingga menyebabkan waris sendiri tidak mengetahui kewujudan harta pusaka tersebut. Malahan lebih parah lagi apabila pemilik harta tidak mengambil berat hal-hal berkaitan dokumen pemilikan terhadap tanah contohnya kehilangan dokumen pemilikan tersebut akan menyebabkan hakmilik tanah tersebut tidak jelas seperti berlakunya pertindihan sempadan (Md Yusof 2008; Mujani et al. 2011; Wan Harun 2010).
Kesan daripada kehilangan dokumen terhadap pemilikan tanah telah menyebabkan waris-waris sukar mengenalpasti tanah yang perlu dibahagikan dan sukar membuktikan kewujudan tanah tersebut ketika memfailkan tuntutan harta pusaka di Pejabat Tanah, Mahkamah Sivil atau Amanah Raya Berhad (Abdul Rashid dan Yaakub 2010b; Ahmad dan Laluddin 2010; Md Yusof 2008; Muhamad 2006; Mujani et al. 2011).
======================================================

Bila Ezani baca artikel ini, sebenarnya apa yang dituliskan menunujukkan bahawa orang Islam kita, khususnya orang melayu masih kurang menekankan tentang pengurusan harta pusaka walaupun mempunyai banyak harta sana sini tetapi tidak didokumentasikan atau diwartakan kepada waris.

In syaa Allah nanti Ezani share lagi faktor-faktor lain pula ya dalam penulisan yang akan datang...

"URUSKAN PUSAKA SUPAYA MENJADI HARTA"
"WARISKAN DUNIA DEMI AKHIRAT"

Klik link untuk laman web MyPusaka

Hubungi perunding, Assalamualaikum Ezani

#mypusakainfo
#danapantas
#rancangharta
#uruspusaka
#byezani

Friday 11 January 2019

AMALAN PEMBAHAGIAN FARAID DI MALAYSIA

Assalamualaikum semua, semoga hari ini dapat kita manfaatkan sebaiknya..

Untuk hari ini, Ezani nak kongsi artikel yang 
Ezani baca bertajuk "AMALAN PEMBAHAGIAN FARAID DI MALAYSIA" kajian daripada Mohd Khairy Kamarudin..

Dalam artikel ini, menekankan berkenaan isu-isu faraid antaranya isu sijil faraid, alternatif pembahagian faraid sehinggalah kekangan perlaksaan faraid dia Malaysia.
Untuk hari ini, Ezani ingin kongsikan berkenaan topik perundangan faraid.

======================================================
PERUNDANGAN FARAID
Undang-undang yang sedia ada jelas menunjukkan sistem faraid merupakan rujukan utama waris-waris orang Islam dalam pembahagian harta pusaka mereka. Merujuk Seksyen 25, Akta Undang-Undang Sivil 1956 mengkhususkan pentadbiran harta pusaka bagi orang Islam perlu merujuk undang-undang Islam iaitu sistem pewarisan faraid (Hassan & Abdul Rashid, 2014; Noordin, Shuib, Zainol, & Mohamed Adil, 2011). Tambahan lagi, Seksyen 12(7) Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 memperuntukkan pembahagian harta pusaka si mati hendaklah mengikut undang-undang terpakai kepadanya. Maka, bagi orang Islam, Pemungut atau Pentadbir pusaka perlu menentukan waris-waris, kadar bahagian-bahagian yang layak diterima dan jumlah harta berdasarkan hukum faraid (Disa, 2009; Wan Harun, 2009).

Dari sudut bidang kuasa pembahagian faraid pula, Senarai 2, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Malaysia memperuntukkan perkara-perkara berkaitan pewarisan bagi orang Islam adalah tertakluk kepada bidang kuasa Negeri (Halim & Arshad, 2014). Perkara ini diperkukuhkan melalui Seksyen 46 (2) (b), Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam Negeri-Negeri yang memperuntukkan bidang kuasa berhubung pewarisan kepada Mahkamah Syariah (Disa, 2009; Mohd Yusof & Ahmad, 2013). Dalam erti kata yang lain, mendengar dan memutuskan kes yang berkaitan dengan pewarisan atau undang-undang harta untuk orang Islam adalah tertakluk kepada bidang kuasa Negeri melalui keputusan Mahkamah Syariah (Halim & Arshad, 2014; Wan Harun, 2009).

Seksyen 50, Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam Negeri-Negeri pula mengkhususkan Mahkamah Syariah mempunyai kuasa untuk menguruskan perkara mendapatkan Sijil Faraid (Disa, 2009; Noordin et al., 2011; Wan Harun, 2009). Merujuk kepada kes Jumaaton dan Raja Delila lwn Raja Hizaruddin [1998]3, Hakim memutuskan bahawa persoalan kaedah pembahagian pusaka bagi orang Islam perlu mengikut faraid dengan merujuk keputusan di Mahkamah Syariah yang mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan Sijil Faraid.

Namun begitu, amalan ini tidak mempunyai asas yang kukuh kerana sehingga kini masih tiada sebarang peruntukan khas di bawah prosedur Mahkamah Sivil yang memerlukan Sijil Faraid tersebut bagi tujuan tuntutan pusaka (Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, 2016; Md Azmi & Mohammad, 2015; Wan Harun, 2009). Hal ini disebabkan, sekiranya amalan mendapatkan Sijil Faraid ini diwajibkan, maka waris-waris perlu menghadapi perbicaraan sebanyak dua kali iaitu perbicaraan untuk membahagikan harta pusaka di Mahkamah Sivil atau di Pejabat Pusaka Kecil dan perbicaraan untuk mendapatkan Sijil Faraid di Mahkamah Syariah (Wan Harun, 2009).

Amalan ini akan menyebabkan proses pusaka menjadi semakin sukar, memerlukan masa yang panjang dan kos yang tinggi. Walau bagaimanapun, Disa, (2009) berpendapat Pemungut sendiri mempunyai kuasa untuk menentukan kadar bahagian waris mengikut faraid berdasarkan Seksyen 8(1), Akta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 dan Sijil Faraid hanya diperlukan apabila menghadapi masalah untuk membahagikannya.

Dari sudut pengiraan pembahagian faraid, Pemungut atau Hakim hanya merujuk kepada kitab faraid dan berdasarkan pembelajaran yang tidak formal kerana masih tiada statut khusus untuk dirujuk berkaitan pengiraan faraid. Perkara ini akan menyebabkan kekeliruan dalam pewarisan kerana terdapat kemungkinan pembahagian faraid tersebut adalah mengikut pendapat ulama’ yang berbeza berdasarkan keperluan semasa (Wan Harun, 2009). Pembahagian faraid juga akan menghadapi masalah sekiranya harta yang dituntut tidak jelas dari sudut pemilikan atau bercampur dengan harta orang lain (Mujani et al., 2011).
======================================================

Kesimpulannya, Mahkmah Syariah sebenarnya memainkan peranan penting dalam pengurusan harta pusaka. Khususnya dalam mengeluarkan Sijil Faraid.

Apa yang menarik lagi dalam artikel ini, pengkaji mencadangkan beberapa perkara kepada pembaca bagaimana untuk memanfaatkan tanah-tanah pusaka daripada terabai atau terbiar.

In syaa Allah, Moga penulisan ini memberi manfaat kepada semua. Saya minta maaf dahulu jika ada kekurangan dalam menyalurkan informasi, jika kawan-kawan semua ada cadangan dan penambahbaikan boleh kongsi kita belajar sama-sama ilmu harta pusaka ini.

Untuk bacaan lanjut artikel ini, boleh cari di pautan berikut :

"URUSKAN PUSAKA SUPAYA MENJADI HARTA"
"WARISKAN DUNIA DEMI AKHIRAT"

Klik link untuk laman web MyPusaka

Hubungi perunding, Assalamualaikum Ezani

#mypusakainfo
#danapantas
#rancangharta
#uruspusaka
#byezani

Thursday 10 January 2019

HARTA PUSAKA MENURUT PERSPEKTIF ISLAM

Assalamualaikum, apa khabar semua? 
Semoga semua berada keadaan sihat sejahtera hendaknya. Untuk hari ni, Ezani nak share artikel yang Ezani baca baru-baru ni. Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada semua sahabat. 

======================================================
Dalam ajaran Islam, pembahagian harta pusaka dikenali dengan ilmu faraid. Hal ini telah difirmankan Allah dalam al-Quran, al-Nisa (4:7), yang maksudnya: “Orang-orang lelaki mempunyai bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat. Dan orang-orang perempuan mempunyai bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajipkan atau ditentukan oleh Allah”.

Dalam ayat yang lainnya, al-Anfal (8:75) yang maksudnya: “Dalam pada itu, orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak atas setengahnya yang lain menurut hukum atau kitab Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”. Kedua-dua ayat di atas menunjukkan bentuk ayat mujmal.

Terdapat juga ayat yang berbentuk mufassal, sebagaimana telah difirmakan Allah dalam al-Quran, al-Nisa (4:11), yang maksudnya:
“Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan, tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih daripada dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga daripada harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah seperdua (separuh) harta itu. Dan bagi ibu bapa si mati, setiap seorang daripada keduanya seperenam daripada harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak, tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisnya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah sepertiga. Jikalau si mati mempunyai beberapa saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah seperenam (pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwariskan oleh si mati, dan sesudah dibayar hutangnya. Ibu bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui sesiapa antara mereka yang dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu (pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan daripada Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Bijaksana”.

Para ahli waris ashab al-furud dan asabah bi al-ghayr. Para ahli waris ashab al-furud adalah anak perempuan, ibu, bapa, suami, isteri, saudara lelaki seibu, saudara perempuan seibu, saudara perempuan seibu sebapa dan saudara perempuan sebapa. 

Pembahagian harta pusaka faraid kepada ahli waris hendaklah dibuat sesudah menunaikan hutang-hutang si mati sama ada hutang Allah seperti zakat, atau sesama manusia. Dan sesudah diselesaikan wasiat yang dibuat si mati (jika ada) atas kadar sepertiga daripada jumlah keseluruhan harta pusakanya.

Sabda Rasulullah (s.a.w) yang maksudnya:
“Daripada Ibn Mas’ud (r.a), berkata: Bagi seorang anak perempuan setengah/separuh, seorang anak perempuan kepada anak lelaki (cucu perempuan) seperenam untuk melengkapkan dua pertiga dan baki (asabah) untuk seorang saudara perempuan”. 

Riwayat al-Bukhari. Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas (r.a) Rasulullah (s.a.w) bersabda: “Serahkan warisan-warisan itu kepada ahli waris. Adapun bakinya, bagi ahliahli waris lelaki yang terdekat”.

Hukum mempelajari ilmu faraid adalah fardhu kifayah. Bagi umat Islam, tetapi hukum melaksanakan pembahagian harta pusaka dengan ilmu faraid adalah wajib.
======================================================

Ezani tertarik dengan point terakhir dalam artikel ini, dimana penulis menekankan hukum belajar ilmu faraid adalah fardhu kifayah, manakala perlakasanaan faraid adalah wajib.

Sebab itu, Ezani rasa bertanggungjawab untuk kongsikan ilmu berkenaan faraid dan berkaitan pusaka kepada semua.. Walaupun, Ezani sekadar kongsikan ilmu yang Ezani dapat daripada artikel-artikel yang Ezani baca.. ðŸ˜…😅😅

Jika ada kawan-kawan ingin membuat bacaan lanjut boleh dapatkan artikel ini di pautan berikut: 


"URUSKAN PUSAKA SUPAYA MENJADI HARTA"
"WARISKAN DUNIA DEMI AKHIRAT"

Klik link untuk laman web MyPusaka

Hubungi perunding, Assalamualaikum Ezani


#mypusakainfo
#danapantas
#rancangharta
#uruspusaka
#byezani

Kisah Sedih Ketika Melawat Kubur Ayah Semalam


Semalam sempena cuti Maulidur Rasul, saya sempat ziarah
kubur arwah ayah di Senawang. Dah masuk 7 tahun arwah
meninggalkan kami. Beliau seorang bapa terbaik & melayani 

kami dengan full of love. Moga Tuhan yang berkali-ganda Maha Penyayang melayaninya dengan layanan kasih-sayang, Allahumma Amin.

Ketika nak balik tu, tak sangka pula terserempak dengan Hasrul (bukan nama sebenar), rakan lama sekolah rendah yang dah lama tak jumpa. Rupanya tujuannya sama juga, ingin ziarahi kubur arwah ibunya yang meninggal 11 tahun lepas.

Dalam kami rancak berbual tu, air matanya tiba-tiba bergenang. Rupanya ada kisah sedih yang dikongsikan membuatkan saya turut hiba.

'Aku rasa macam tak guna Asraff sebab tadi, nak baca Surah Yasin untuk arwah mak pun aku tak mampu...' Hasrul ni orang berjaya. Umur dah nak masuk 40 an macam saya juga. Dulu ketika muda, ia sibuk mengejar pelajaran & kerjaya hinggakan Al-Quran dirasakan kurang penting. Tapi bila dah berumur & ketika ibu-bapanya sudah kembali ke alam sana, barulah Al-Quran dirasakan penting.

- Dia menyesal kerana pada umur sebegitu Al-Quran masih belum dapat dibaca sempurna.
- Dia tertekan kerana di depan kubur ibunya tadi, nak baca Surah Yasin pun ia tergagap-gagap.

Di saat ibunya sangat memerlukan syafaat Al-Quran dari anak tercinta, ia hanya mampu berdoa tetapi tidak mampu membaca Al-Quran untuknya.

'Surah apa yang elok aku baca Asraff?', dia bertanya. Adat anak sayangkan ibu, dia masih bersungguh untuk lakukan sesuatu. Saya cadangkan, 'baca sahaja surah yang kita confident. Fatihah, 3 Qul & ayat kursi. Kemudian doa sungguh-sungguh semoga Tuhan dengan kasih -sayangnya sudi mengurniakan syafaat Al-Quran kepada arwah ibu....'

'Di sana, syafaat Al-Quran ni penting macam duit kat dunia ni. Ada syafaat, semua akan mudah. Tiada syafaat, takut kita terkapai-kapai dengan amal soleh yang tak seberapa sementara amal 'salah' pula berkali-ganda...' Dia mengangguk. 'Yelah, dunia ni kejap je kan. Kejar macam-mana pun & bersungguh jaga kesihatan pun, paling terel umur 100 meninggal juga. Takde orang yang boleh hidup sampai 300 tahun...'.

Tuan-puan semua, kisah ini dikongsikan kerana saya fikir, mungkin ramai antara kita berhadapan situasi sebegini. Ketika muda, sihat & bekerjaya, kita 'terlepas pandang' untuk eratkan persahabatan dengan Al-Quran. Bacaan  Al-Quran masih belum sempurna sementara isi kandungannya tidak sempat ditelaah.

Tapi Alhamdulillah, kita masih ada peluang untuk bersedia. Al-Quran bukannya susah sangat nak belajar bahkan tajwid merupakan ilmu yang paling 'kacang' jika anda mempelajarinya dengan guru yang tepat & teknik yang betul.

Andai anda ingin mencari cara mudah untuk mempelajari tajwid sekaligus ada keyakinan lebih tinggi nak baca Quran dengan baik, sayajemput anda hadiri SEMINAR TAJWID LUARBIASA bulan disember ni. 

Ia merupakan seminar yang khas membicarakan bagaimana cara lebih mudah untuk layman, orang awam yang 'almost zero' ilmu tajwid, yang bacaan Qurannya tak begitu cantik tapi nak belajar cara lebih cepat fahami tajwid.

Pendek kata, kita akan belajar tajwid sampai rasa, 'kacang je rupanya tajwid ni...'.

Saya nak bantu anda agar lebih yakin nak baca Quran  sendirian tanpa rasa takut 'berdosa' kerana salah tajwid.

Seminar diadakan Disember ini di Pahang, Bangi, Shah Alam & Masjid wilayah, KL.

Untuk maklumat lanjut & pendaftaran, sila layari :


Jika ada permasalahan berkaitan urus pusaka, boleh juga menghubungi saya. 

"URUSKAN PUSAKA SUPAYA MENJADI HARTA"
"WARISKAN DUNIA DEMI AKHIRAT"

Klik link untuk laman web MyPusaka: 

Hubungi perunding: