Friday 13 September 2019

Urus jenazah secara percuma

MyMetroMutakhir
Zuhainy Zulkiffli
am@metro.com.my

DIKEPUNG sekumpulan individu yang tidak berpuas hati dengan tindakan mereka menawarkan khidmat mengurus jenazah secara percuma, bukan penghalang sekumpulan anak muda untuk terus menabur budi kepada insan memerlukan.

Itu antara cabaran yang ditempuh penuntut serta kakitangan Kolej Islam Teknologi Pulau Pinang (KITAB), Air Itam, Georgetown kerana tindakan mereka dianggap mengganggu ‘periuk nasi’ pihak yang menawarkan perkhidmatan itu secara berbayar.

Timbalan Pengerusi Pertubuhan Pengurusan Jenazah Al-Ikhlas Pulau Pinang, Muhammad Fitri Rosley, 24, berkata, kejadian seperti itu pernah berlaku beberapa kali sebelum ini.

Menurutnya, walaupun terpaksa akur dengan tindakan itu, namun mereka terkilan kerana tidak dapat membantu keluarga si mati yang terdahulu menghubungi bagi menyempurnakan jenazah.

“Pernah berlaku ketika hendak melakukan urusan pengebumian jenazah di Seberang Perai, sekumpulan individu mengepung kami dan menghalang dengan pelbagai ugutan.

“Keluarga si mati memang kekurangan wang kerana itulah kami tampil menguruskan secara percuma dan akibatnya, kumpulan individu itu meminta kami mengebumikan jenazah di tanah perkuburan lain.

“Mereka tidak berpuas hati dengan tindakan kami sedangkan perkhidmatan secara percuma itulah yang dituntut dalam Islam,” katanya yang juga bekas penuntut jurusan Diploma Tahfiz Walqiraat di KITAB.

Muhammad Fitri berkata, program pengurusan jenazah secara percuma itu dijalankan sukarelawan KITAB sejak 2015 dan pada mulanya hanya memberi khidmat sekitar bahagian pulau.

Bermula enam orang, kini pasukan berkenaan mempunyai lebih 30 ahli terdiri daripada lelaki dan wanita.

Katanya, program itu ditubuhkan berikutan menyedari terdapat ramai golongan tidak mampu membayar kos pengebumian yang tinggi terutama di kawasan bandar.

“Saban tahun semakin ramai penuntut dan bekas penuntut menyertai program ini yang kami anggap sebagai ‘projek tambah pahala’.

“Selain memberi keinsafan, ilmu ini juga kami manfaatkan kepada orang ramai menerusi aktiviti latihan pengurusan jenazah yang dijalankan atas jemputan masjid, sekolah atau komuniti,” katanya yang kini bekerja sebagai Pembantu Pustakawan di KITAB.

Menurutnya, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah menguruskan jenazah kanak-kanak rentung dalam kebakaran di Bayan Lepas tahun lalu dan itulah kali pertama mereka menguruskan jenazah secara tayamum.

Katanya, sukar hendak menggambarkan perasaan mereka ketika dihubungi pihak hospital bagi menguruskan jenazah berkenaan kerana mereka tiada pengalaman menguruskan jenazah rentung.

“Dengan keadaan jenazah yang begitu, kami perlu lakukan dengan berhati-hati selain menjaga adab supaya tidak berkata perkara yang tidak baik sepanjang proses itu.

“Semuanya kami lakukan dengan hanya berpandukan apa yang kami sudah belajar dalam kelas dan syukur ia berjalan baik dan itulah pengalaman paling berharga,” katanya.

Kini pertubuhan terbabit sedang mencari dana bagi membaiki bumbung van jenazah serta beberapa kelengkapan termasuk keranda dan kit pengurusan jenazah.

Perkhidmatan mereka juga sudah diperluaskan ke Seberang Perai menerusi kerjasama dengan Hospital Seberang Jaya (HSJ).

“Bumbung van sedia ada bocor walaupun sudah beberapa kali dibaiki hasil sumbangan orang awam dan jika hujan, air terkena keranda.

“Hasrat kami memang hendak beli van baru yang lebih besar dengan kos kira-kira RM80,000 dan ia dapat membantu meluaskan perkhidmatan.

“Jika ada kemudahan, semakin ramailah penuntut atau orang awam boleh menyertai kami bagi menguruskan jenazah secara percuma,” katanya.

Orang ramai yang mahu menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian ke akaun CIMB pertubuhan terbabit 86-0232403-7.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 3:52 PM
#IUCNorthernNews
#Georgetown https://t.co/BL0scPu9hu

No comments:

Post a Comment